Sunday, July 29, 2018

LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK PERPADUAN MELALUI AKTIVITI GOTONG ROYONG

LANGKAH –LANGKAH MEMUPUK PERPADUAN MELALUI AKTIVITI GOTONG ROYONG


     Kita tidak dapat menafikan bahawa banyak kebaikan yang diperoleh oleh masyarakat daripada amalan bergotong-royong. Menyedari hal ini, kerajaan berusaha untuk menanam kembali amalan ini dalam kalangan masyarakat. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menarik perhatian dan minat masyarakat terhadap amalan bergotong-royong. Antaranya ialah melaksanakan kempen dengan berkesan. Kempen ini bertujuan untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan bergotong-royong serta sebagai rangsangan untuk melibatkan masyarakat dalam amalan ini. Untuk memastikan kempen ini benar-benar berjaya, peranan media massa dan media cetak sangat penting. Media elektronik boleh menghebahkan kempen ini di dalam televisyen, radio dan suratkhabar agar masyarakat terdedah dengan maklumat tersebut secara meluas. Walaupun kempen seperti ‘cintailah sungai kita’ dan ‘jom ganyang aedes’ merupakan aspek kesihatan dan alam sekitar tetapi kempen ini secara tidak langsung menuntut masyarakat untuk bergotong-royong. Contohnya, kempen ‘jom ganyang aedes’ memerlukan masyarakat untuk bergotong-royong membersihkan kawasan tempat pembiakan aedes iaitu di longkang atau daun-daun kering di sekitar kawasan rumah. Kempen-kempen tersebut dilihat berkesan kerana masyarakat mula berjinak-jinak dengan amalan tersebut di samping untuk menjaga kebersihan. Kejayaan kempen ini terhasil di atas kerjasama media elektronik dan juga kerajaan seperti bak kata pepatah ‘yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing’ yang akhirnya membuahkan hasil.



       Seterusnya, langkah yang lain untuk menanam nilai ini dalam diri masyarakat ialah penglibatan dari badan bukan kerajaan(NGO) dengan lebih giat. Badan NGO boleh turun padang untuk membantu kerajaan menarik minat masyarakat dalam amalan gotong-royong. Untuk merealisasikan harapan kerajaan mewujudkan masyarakat bergotong-royong, syarikat swasta boleh menganjurkan pertandingan kampung tercantik dengan ganjaran lumayan kepada pemenang. Dengan cara itu, masyarakat lebih tertarik untuk menyertainya dan mula bergotong-royong mencantikkan kawasan perkampungan. Perlibatan badan NGO yang lebih giat dan aktif dapat menunjukkan kepada masyarakat betapa pentingnya amalan tersebut dalam kehidupan komuniti. Melalui itu, masyarakat diharapkan mendapat mesej yang dibawa oleh kerajaan untuk mempergiat amalan ini.


2 comments: