Gotong royong adalah aktiviti berkumpulan
atau bersama-sama secara sukarela. Amalan ini telah di warisi sejak zaman
berzaman. Tetapi amalan ini kian dilupakan oleh generasi alaf baru yang hanyut
dengan keseronokan dan keselesaan yang tiada batasan. Berapa peratus golongan
muda yang mengetahui maksud gotong royong dan mengamalkannya dalam kehidupan
seharian.
Aktiviti gotong royong ini sebenarnya
dapat menjalinkan dan memperkukuhkan semangat kejiranan dan mengeratkan
hubungan antara satu sama lain. Kehidupan masyarakat sekarang kebanyakannya
bertunjangkan meterialistik dan individualistik sehingga tidak mempunyai masa
untuk mengenali dan berbual-bual dengan jiran masing-masing. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran-jiran
tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama akan bersama-sama menjalankan aktiviti
yang sama.
Bergotong royong juga boleh memperindahkan
tempat tinggal dan kawasan persekitaran menjadi bersih. Dengan amalan
kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar
daripada rupa. Amalan gotong royong juga dapat membersihkan kawasan kediaman
daripada menjadi sarang pelbagai penyakit seperti aedes.
Kegiatan ini amat berfaedah dan mesti
diamalkan dan dipupuk sejak kecil kerana meluntur buluh biarlah dari rebungnya.
Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting dalam kehidupan, kita
dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut.
Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja
dengan tenaga kerja yang ramai. Oleh itu, amalan ini harus diingati dari satu
generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk
mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal.
Aktiviti gotong-royong juga dapat
mewujudkan perpaduan kaum. Perpaduan kaum amat penting di kalangan rakyat
Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Contohnya, dengan
mengadakan gotong-royong bagi menjayakan Program Sambutan Bulan Kemerdekaan,
perpaduan masyarakat akan terjalin secara langsung atau secara tidak langsung.
Sesungguhnya, dengan wujudnya perpaduan kaum di kalangan rakyat, negara kita
akan terus aman dan maju.
Dalam semua agama juga turut mementingkan
kebersihan kerana kebersihan juga adalah salah satu lambang seseorang. Kebersihan itu sebahagian daripada iman
sudah menjadi tema kebersihan bagi setiap orang sama ada disedari ataupun tidak.
Oleh itu, sebagai manusia kita sepatutnya menyertai aktiviti gotong-royong ini
supaya alam sekitar sentiasa terpelihara.
No comments:
Post a Comment